top of page

Tingkatkan kualiti program pendidikan suaian fizikal anda dengan penggunaan Taksonomi Bloom.



Sesi praktikal kelas suaian fizikal di UPSI suatu ketika dahulu.

Taksonomi Bloom ini adalah antara kerangka kerja yang paling saya gemari semenjak menceburi bidang pendidikan 20 tahun lalu. Proses pendidikan suaian fizikal sebenarnya melangkaui setakat mengangkat Olympic Bar atau berlari di trek/treadmill. Ianya sebenarnya berkaitan pemahaman aspek sains di sebalik setiap pergerakan tubuh yang berlaku. Bagaimana kita memotivasikan diri kita dengan berkesan, mengelakkan kecederaan dan mencapai matlamat suaian fizikal kita. Di sinilah Taksonomi Bloom boleh memainkan peranannya. Samada anda seorang jurulatih prestasi tinggi, jurulatih peribadi, guru, pensyarah atau profesional kecergasan lain, Taksonomi Bloom boleh meningkatkan pemahaman dan pengajaran anda. Lebih tepat lagi, Taksonomi Bloom boleh meningkatkan prestasi pembelajaran dan latihan pelajar/atlet kita.


Memahami Taksonomi Bloom

Taksonomi Bloom, yang dibangunkan pada tahun 1950-an oleh ahli psikologi pendidikan Benjamin Bloom dan rakan-rakannya, menggariskan hierarki kemahiran kognitif. Konsep taksonomi ini bermula serendah menghafal pengetahuan asas kepada aplikasi penilaian kognitif (pemikiran) yang lebih kompleks bagi sesuatu perkara. Penggunaan taksonomi atau struktur inilah yang akan mengubah kaedah pengajaran/proses kejurulatihan kita.


Enam tahap Taksonomi Bloom mengikut urutan adalah:

  1. Mengingat: Ingat fakta (contohnya kumpulan otot).

  2. Pemahaman: Terangkan konsep (contohnya mengapa memanaskan badan penting).

  3. Mengaplikasi: Gunakan maklumat dalam situasi baharu (contohnya menyesuaikan senaman).

  4. Menganalisis: Penghuraian maklumat (contohnya menganalisis hasil senaman).

  5. Menilai: Mentaksir keputusan (contohnya memilih rancangan senaman).

  6. Mencipta: Menghasilkan rancangan baharu (contohnya membina program latihan).


Penggunaan rangka kerja ini boleh menjadikan proses pendidikan suaian fizikal (termasuk melatih atlet) menjadi lebih berkesan, dengan memastikan pelajar/atlet belajar dan berlatih mengikut urutan fasa yang sepatutnya.


Mengapa Menggunakan Taksonomi Bloom dalam Pendidikan Suaian Fizikal?

Menggunakan Taksonomi Bloom membantu memenuhi pelbagai gaya pembelajaran dan menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam dalam kalangan pelajar atau atlet (atlet sebenarnya 'belajar' ya, dengan atlet yang mencapai tahap elit bermaksud sudah mencapai tahap penguasaan kemahirannya di aras taksonomi tertinggi sebenarnya). Sebagai contoh, memberi tumpuan semata-mata pada fakta asas tentang sesuatu kemahiran/teknik mungkin menyebabkan pelajar atau atlet tidak bersedia untuk menghadapi cabaran dalam perlaksanaan kemahiran/teknik tersebut. Sebaliknya, melibatkan mereka dalam semua enam peringkat memupuk pemikiran kritis dan kebebasan berfikir.


Ini penting kerana secara realitinya dalam untuk sesuatu kemahiran atau teknik itu dapat dilakukan dengan berkesan, pelaku perlu mengingat setiap pergerakan kemahiran tersebut, memahami implikasi setiap perubahan pergerakan, tahu menggunakan maklumat tersebut (pengetahuan teknikal), menganalisa persekitaran untuk adaptasi pergerakan tersebut, menilai keputusan lakuan yang akan dibuat dan akhirnya menghasilkan (mencipta) pergerakan tersebut dalam apa jua situasi dengan hasil yang disasarkan. Banyak kajian menunjukkan penglibatan proses analisis dan penilaian meningkatkan kadar pengekalan pengetahuan pelajar/pelatih berbanding mereka yang menghafal atau menginat fakta semata-mata.


Panduan Ringkas Aplikasi Taksonomi Bloom dalam Suaian Fizikal
  1. Sentiasa bermula dengan pengetahuan asas. Sebelum bergerak ke fasa seterusnya, pastikan pelajar/atlet memahami dasar pengetahuan suaian fizikal yang penting. Ini termasuk anatomi, mekanik pergerakan dan konsep fisiologi tubuh berkaitan. Secara praktisnya, perkenalkan istilah dan konsep utama dalam sesi pertama. Sebagai contoh, terangkan otot yang digunakan dalam senaman squat, seperti quadriceps dan gluteals. Galakkan soalan. Sebagai contoh, jika pelajar bertanya tentang kepentingan postur badan sewaktu squat, bincangkan potensi kecederaan dengan teknik salah berbanding teknik yang betul. Ini akan membimbing pelajar/atlet daripada "mengingat" kepada "memahami."

  2. Galakkan kefahaman melalui aplikasi. Setelah pelajar/atlet memahami perkara asas, galakkan mereka untuk mengaplikasikan apa yang mereka ingat dan faham dalam situasi sebenar latihan. Ini mungkin boleh dilakukan juga melalui kaedah simulasi situasi sebenar. Simulasi contohnya pelajar/atlet merekabentuk latihan di mana mereka memilih latihan berdasarkan matlamat peribadi mereka. Sebagai contoh, jika pelajar berusaha untuk meningkatkan daya tahan, mereka mungkin memilih latihan jeda sebagai latihan yang akan dilakukan. Seterusnya bincangkan mengapa latihan tertentu berkesan. Contohnya pelajar dipohon untuk menyatakan bagaimana senaman 'plank' menguatkan otot teras dan meningkatkan kestabilan dalam pergerakan. Ini menggalakkan pertumbuhan ke tahap "aplikasi".

  3. Pupuk analisis dan penilaian. Cabar pelajar/atlet untuk menganalisis latihan mereka dan menilai prestasi mereka. Di sinilah pembelajaran yang lebih mendalam berlaku. Dari sudut praktikal, antara kaedah boleh dilakukan adalah dengan menjalankan sesi perbincangan berkumpulan, di mana pelajar/atlet memberi dan menerima maklum balas yang membina daripada rakan-rakan sepelatihan/kelas. Sebagai contoh, seorang pelajar boleh memerhati teknik senaman squat yang pelajar/atlet yang lain dan mencadangkan penambahbaikan. Ini akan membawa mereka ke aras pembelajaran yang seterusnya iaitu kepada "menganalisa" dan "menilai."

  4. Galakkan penciptaan. Apabila pelajar/atlet menjadi lebih yakin, bimbing mereka untuk membuat rancangan dan rutin mereka sendiri. Ini mengukuhkan pemahaman mereka dan memupuk pemilikan. Antara kaedah boleh dilakukan adalah seperti dengfan mengatur projek di mana pelajar membangunkan pelan senaman empat minggu yang mensasarkan matlamat suaian fizikal tertentu seperti peningkatan kekuatan otot atau penurunan berat badan. Anjurkan hari pembentangan (seminar mini mungkin) untuk pelajar/atlet berkongsi rancangan mereka dengan rakan sekelas/sepelatihan. Ini membuka ruang untuk perbincangan dan maklum balas. Ini juga membantu melahirkan atlet yang mampu berfikir aras tinggi dalam pertandingan (thinking athlete). Langkah terakhir ini membawa mereka ke tahap "mencipta/penciptaan".


Sama ada kita mengajar atau melatih secara bersemuka atau dalam talian, Taksonomi Bloom bukanlah model yang rigid; ia boleh disesuaikan dalam pelbagai keadaan dan kaedah. Gabungkan kombinasi teknologi ke dalam pengajaran dan proses kejurulatihan anda. Gunakan aplikasi-aplikasi atas talian dan alatan digital untuk pemantauan prestasi, yang boleh meningkatkan penglibatan. Metrik seperti peningkatan dalam kekuatan atau ketahanan seperti paparan kelajuan pergerakan atau pengasilan daya boleh menjadi pendorong yang kuat sebenarnya!


Dengan menekankan pendekatan berstruktur seperti disarankan oleh Taksonomi Bloom ini, kita telah melibatkan semua peringkat kognitif dalam proses pembelajaran dan latihan kita, sekaligus membantu melahirkan pengamal suaian fizikal (pelajar/atlet) yang berpengetahuan dan mampu berkembang pengetahuan dan pengalamannya bagi amalan sepanjang hayat. Semoga panduan ringkas ini membantu proses pengajaran dan latihan suaian fizikal anda. Selamat mengajar. Selamat melatih. :)









bottom of page