Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sekarang telah menghadkan pergerakan semua, termasuk pergerakan keluar masuk bagi tujuan senaman dan latihan. Sebagai panduan asas, tiga perkara berikut perlu diberi perhatian bagi mereka yang bersenam di rumah dengan matlamat kecergasan umum tubuh.
Pertama sekali teknik lakuan senaman perlu betul. Teknik yang betul secara mudahnya tidak memudaratkan dan menyakitkan otot dan sendi samada sebelum, sewaktu dan selepas senaman. Terdapat pelbagai sumber termasuk video dan laman sesawang yang memberikan panduan kaedah lakuan senaman yang betul. Cari dan pilih sumber yang disediakan oleh mereka yang bertauliah atau diiktiraf oleh pakar bertauliah. Kesan utama lakuan yang salah adalah risiko kecederaan samada secara akut (segera) atau akan datang dalam jangka masa panjang.
Keduanya lakukan senaman dengan proses pernafasan normal. Untuk gaya hidup sihat dan kecergasan umum intensiti atau tahap kesukaran senaman tidak perlu tinggi. Bahkan intensiti rendah adalah lebih di galakkan. Bernafas seperti biasa sepanjang senaman memberikan anda penanda aras mudah untuk senaman berintensiti rendah. Pernafasan normal juga mengelakkan tekanan yang mungkin boleh menyebabkan pitam atau lain-lain masalah. Bernafas melalui hidung dan mulut mengikut keperluan. Elakkan menutup mulut dan memaksa pernafasan hanya melalui hidung sahaja ketika bersenam. Tarik nafas melalui hidung dan hembuskan melalui mulut untuk lebih oksigen. Elakkan sama sekali menahan nafas bagi melakukan mana-mana aktiviti senaman. Sekiranya anda perlu menahan nafas sekejap bagi membolehkan anda melakukan mana-mana senaman (Valsalva maneuver), ini bermaksud intensiti atau bebanan senaman tersebut sudah terlalu tinggi untuk anda.
Ketiga, amatlah penting untuk memastikan persekitaran atau kawasan senaman anda adalah selamat. Ruang secukupnya dengan jarak selamat dengan barangan atau perkara yang memberi risiko kecederaan. Program senaman anda juga tidak mengganggu persekitaran aman dan selamat pihak atau orang lain. Alatan yang di gunakan sekiranya ada adalah bersih dan selamat untuk di gunakan. Juga tidak berada pada kedudukan yang membahayakan diri atau pihak lain. Sentiasa amalkan penyimpanan segera alatan senaman selepas di gunakan bagi memastikan kediaman anda sentiasa selamat dari risiko kecederaan oleh alatan sukan dan kecergasan. Pakai pakaian yang selesa untuk lakuan pergerakan senaman. Dan akhir sekali pastikan bilik atau ruang yang digunakan mempunyai pengudaraan yang baik.
Dengan mengambilkira tiga perkara di atas, secara umumnya anda telahpun memastikan senaman di rumah anda adalah dengan teknik yang betul, intensiti yang sepatutnya dan aspek keselamatan terjaga.
Selamat bersenam dan selamat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kekal cergas dan kekal selamat di rumah.