top of page

Kecergasan fizikal & pemakanan sihat untuk resolusi tahun baru


Jadikan azam tahun baru kita bahawa tahun ini sebagai tahun di mana kecergasan fizikal dan pemakanan sihat menjadi gaya hidup kita sepenuhnya. Jangan asingkan ia sebagai satu sesi berasingan. Jadikan ianya sebahagian daripada amalan harian pada bila-bila masa di mana-mana sahaja.

  • Luangkan masa melakukan aktiviti fizikal seperti regangan dan kardio serta rintangan ringandi antara celahan waktu kerja kita.

  • Makan makanan berkhasiat samada mahal atau murah, setiap kali kita makan. Murah tidak semestinya tidak berkhasiat, mahal tidak semestinya bernilai tinggi rating kesihatannya.

  • Amalkan membawa bekas air kita ke mana-mana, bagi menjamin kita sentiasa mendapat bekalan air minuman kosong setiap hari secukupnya.

  • Usahakan agar kita sentiasa mencari jalan "sukar" menuju kemana-mana desinasi sekitar kita dengan berjalan kaki, menaiki tangga atau berbasikal.

  • Bawa bekal kudapan sihat dari rumah apabila keluar.

  • Mulakan beli belah barangan dapur kita di pasaraya daripada bahagian buah-buahan dan sayuran, dan seboleh-bolehnya elakkan melalui laluan bahagian snek dan makanan-makanan tidak sihat. Ini mungkin membantu kita sentiasa mendahulukan pembelian makanan-makanan berkhasiat.

  • Rancang jadual kerja dan keluarga dengan teratur, pastikan tidur dan rehat kita mencukupi. Pastikan juga waktu bersama keluarga bukan sahaja wujud dalam jadual harian kita, tetapi pastikan ianya waktu keluarga yang "berkualiti".

  • Rancang perbelanjaan. Kesihatan dan kesejahteraan hidup dipengaruhi oleh salah satunya keadaan kewangan kita. Berbelanjalah mengikut kemampuan kita.

  • Kurangkan menghadap telefon pintar atau apa sahaja gajet elektronik, lebihkan masa menghadapi realiti kehidupan disekeliling. Perhatikan betul-betul persekitaran rumah kita, hijauan pokok atau tumbuhan walau sekecil mana sekalipun di sekitar kita, dan perhatikan kelakuan manusia di sekeliling. Sedarkan diri kita, masih banyak perkara berlaku dan indah belaka diluar kepompong skrin gajet pintar kita.

  • Ambil masa dan maafkan apa sahaja yang telah berlalu di tahun sebelumnya. Syukuri nikmat yang ada dan terima diri dan kehidupan seadanya. Pandang kehadapan, tingkatkan usaha.

Walau apa sekalipun, setiap kali menjelangnya tahun baru, setiap kali itulah kita berazam dan meletakkan sesuatu matlamat. Untuk kali ini, mungkin kita boleh masukkan semua di atas sebagai sebahagian resolusi dan pendekatan kita. Hidup adalah satu pengembaraan penuh cabaran. Dan pengembara yang sihat dan cerdas akan mampu menghadapinya dengan lebih baik.

bottom of page