top of page

Proses Kejurulatihan Suaian Fizikal

Di petik daripada buku: Nur Ikhwan Mohamad. Celik Fizikal. (2024). Penerbit UPSI. Perak.


Skop praktis profesional suaian fizikal digarap berdasarkan kemampuan ilmu dan proses kerja yang diperlukan bagi mendapatkan respon dan adaptasi latihan yang positif. Skop praktis berkenaan juga adalah merupakan proses kerja seorang profesional suaian fizikal. Sepanjang kerjaya saya, saya melihat pelbagai kaedah proses kejurulatihan suaian fizikal dilakukan atau dicadangkan oleh pengamal, penyelidik dan perunding suaian fizikal. Dan saya sendiri mencuba pelbagai pendekatan samada dalam proses penyelidikan atau kejurulatihan. Di akhirnya, dan setakat ini saya merumuskan proses kejurulatihan suaian fizikal adalah mengikut seperti di gambarajah di bawah (mungkin di masa akan datang ianya akan berubah mengikut dapatan amalan dan kajian terkini). Proses kejurulatihan suaian fizikal ini bukan setakat berdasarkan pengalaman, namun turut berdasarkan  rujukan lain yang berkaitan (Zatsiorsky, Kraemer, & Fry, 2020; Turner & Comfort, 2018; Half & Triplett, 2015; Fleck & Kraemer, 2014).



Gambarajah: Proses suaian fizikal yang dicadangkan kepada profesional suaian fizikal. [Sumber: Nur Ikhwan Mohamad. (2024). Celik Fizikal. Penerbit UPSI, Perak.]

Proses suaian fizikal ini bagi saya perlu dijelaskan dengan lebih lanjut, terperinci dan saintifik. Namun untuk keperluan buku ini buat ketika ini, saya hanya membentangkannya secara ringkas dan mudah. Secara konsep. Kerana tujuan utama buku ini adalah antaranya untuk memberikan gambaran konsep suaian fizikal yang saya pegang dan cadangkan. Proses suaian fizikal secara umumnya melibatkan:

  1. Analisa keperluan. Proses suaian fizikal bagi saya sama seperti proses dalam bidang lain seperti perubatan terutamanya. Ianya mesti bermula dengan ‘penyiasatan’ atau diagnosis atau kajian. Jadi, proses pertama apabila kita ingin melaksanakan proses suaian fizikal ke atas seseorang individu adalah dengan melaksanakan analisa keperluan. Tiga perkara utama  yang perlu dilakukan adalah (a) menentukan keperluan khusus sukan atau aktiviti fizikal yang disasarkan proses suaian fizikalnya oleh atlet atau individu berkenaan, (b) analisa atau pengujian dan penilaian tahap keadaan fizikal semasa atlet berkenaan pada ketika itu, dan (c) menentukan faktor persekitaran yang akan mempengaruhi prestasi fizikal atlet atau individu berkenaan.  Berdasarkan tiga perkara utama ini, baharulah seseorang profesional suaian fizikal menentukan apakah ujian dan penilaian yang perlu digunakan untuk membolehkan ketiga-tiga objektif utama analisa keperluan ini dapat dicapai atau persoalan yang lahir daripadanya dapat dijawab. Jadi, proses analisa keperluan juga adalah merupakan proses pengujian dan penilaian. Di sinilah perlunya seseorang profesional suaian fizikal mempunyai kemahiran dalam proses penyelidikan. Kerana proses suaian fizikal adalah juga merupakan proses penyelidikan berterusan. 

  2. Penetapan matlamat. Sebelum ini dalam pelbagai kelas, bengkel, kursus, dan seminar yang saya kendalikan, saya meletakkan penetapan matlamat sebagai proses pertama suaian fizikal. Namun dari satu penyelidikan ke satu penyelidikan, dari satu proses perundingan kejurulatihan ke seterusnya, saya dapati ianya tidak agak tidak tepat. Menetapkan matlamat tanpa melakukan diagnosis atau analisa keperluannya menyebabkan matlamat yang ditetapkan di awalnya akan menjadi penghadang kepada kreativiti dan inovasi yang diperlukan dalam proses suaian fizikal seterusnya. Bahkan ianya mungkin menidakkan hasil dapatan ujian-ujian analisa keperluan yang dijalankan. Maka dengan itu, dicadangkan penetapan matlamat adalah selepas proses analisa keperluan. Proses penetapan matlamat melibatkan dua perkara utama iaitu (a) keperluan, dan (b) kehendak. Contohnya hasil ujian menunjukkan saya sebenarnya memerlukan program penurunan peratus lemak badan, namun dari sudut saya secara peribadi dan mungkin tuntutan kerja saya juga, saya turut berkehendak kan tubuh yang lebih tegap dan sasa. Jadi, matlamat yang ingin ditetapkan perlu mengambil kira keperluan dan kehendak. 

  3. Perancangan latihan. Proses perancangan latihan melibatkan proses yang pembahagian latihan mengikut fasa atau blok, yang dikenali sebagai proses periodisasi seperti diperkenalkan oleh Tudor O. Bompa (Bompa & Buzzichelli, 2021; Bompa, 1996). Konsep periodisasi latihan ini telah lama di amalkan oleh jurulatih-jurulatih dan guru-guru pendidikan jasmani di Malaysia. Ianya merupakan sebahagian daripada silibus wajib dalam kursus kejurulatihan kebangsaan.Namun, ruang lingkupnya yang luas dan mencakupi pelbagai bidang, menyebabkan perancangan latihan berdasarkan kaedah periodisasi saya lihat masih merupakan satu kesukaran kepada pelbagai pihak dalam industri. Blok-blok latihan dalam perancangan latihan berdasarkan periodisasi ini biasanya dibahagikan kepada 3 kitaran utama dalam satu tahun, iaitu kitaran mikro (perancangan mingguan), kitaran meso (satu blok atau fasa bagi sesuatu objektif yang mencakupi beberapa kitaran mikro) dan kitaran makro (kombinasi beberapa kitaran meso yang membentuk satu kitaran latihan bagi satu tahun atau musim). Mengikut proses suaian fizikal di sini, proses perancangan latihan melibatkan perancangan latihan bagi kesemua kitaran berkaitan. Satu lagi kitaran yang perlu saya sebut di sini adalah kitaran Olimpik, di mana ianya melibatkan gabungan beberapa kitaran makro (beberapa musim atau tahun latihan), yang kebiasaannya mengikut kitaran sukan Olimpik yang diadakan setiap 4 tahun sekali. Jadi secara mudahnya kitaran Olimpik adalah kitaran 4 tahun latihan. Proses perancangan latihan ini juga sebenarnya perlu melibatkan semua pihak yang terlibat dengan atlet berkenaan (jika suaian fizikal bagi sukan prestasi tinggi). Di sinilah profesional suaian fizikal perlu duduk semeja berbincang bersama ahli pemakanan, ahli perubatan, ahli psikologi sukan, pengurusan atlet dan mana-mana pihak lain yang terlibat. Kesilapan yang biasa dibuat adalah perancangan latihan hanya dibuat berdasarkan satu aspek sahaja, contohnya suaian fizikal, tanpa mengambil kira aspek lain yang akan mempengaruhinya seperti pemakanan yang diperlukan untuk menyokong proses suaian fizikal berkenaan, kewangan, jadual pertandingan, kehendak penaja dan lain-lain.

  4. Pengaturcaraan latihan. Ada yang bertanya dan terkeliru, apa bezanya perancangan latihan dan pengaturcaraan latihan? Dari sudut bahasa dan istilah, mungkin boleh digunakan  satu sahaja. Namun dari sudut latihan kekuatan dan suaian fizikal, proses pengaturcaraan latihan adalah proses yang lebih kecil dan teliti, melibatkan sesi dan khusus senaman setiap sesi itu sendiri. Pengaturcaraan latihan adalah proses manipulasi pembolehubah dan parameter latihan kekuatan dan suaian fizikal seperti set, ulangan, bebanan, rehat antara set dan halaju pergerakan/tempo. Secara umumnya terdapat lebih kurang 50 pembolehubah dan parameter latihan kekuatan. Namun yang kerap digunakan dan dimanipulasi adalah lima yang tersebut. 

  5. Pemantauan latihan. Proses pemantauan latihan adalah juga merupakan proses uji dan ulang uji dari masa ke semasa. Kebiasaanya hampir keseluruhan ujian dan penilaian yang digunakan sewaktu proses analisa keperluan, akan digunakan secara berkala dan berterusan bagi tujuan memantau prestasi latihan. Ujian dan penilaian yang dibuat mestilah berupa ujian dan penilaian yang berupaya menjadi indikator prestasi secara langsung atau tidak langsung. Contohnya perubahan pada penghasilan daya boleh menjadi indikator kepada pengekalan, penurunan atau peningkatan kelajuan larian secara tidak langsung. Jika kemampuan daya masih sama maka ianya petanda elemen asas kelajuan larian masih ada, walaupun kelajuan larian berkurang atas sebab kesan latihan lain untuk membina komponen lain pada fasa tertentu kitaran latihan. Proses pemantauan latihan merupakan antara proses yang sebenarnya memerlukan banyak bantuan penyelidik pelbagai bidang. Di sini juga sebenarnya proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) boleh berlaku. Penggunaan pengkalan data juga amat penting di proses ini. 

  6. Kesan latihan. Di peringkat ini apa sahaja dapatan daripada proses pemantauan prestasi akan dibincangkan bersama atlet dan pakar-pakar terlibat bagi mendapatkan kesimpulan ke atas kesan latihan yang dilalui. Proses ini juga penting dalam menentukan apakah sebenarnya yang terbaik dan apa yang sebenarnya memudaratkan. 

  7. Modifikasi. Segala dapatan yang dirumuskan berdasarkan kesan yang direkodkan dan dibincangkan, perlu melalui proses modifikasi. Inilah fasa dimana kreativiti dan inovasi biasanya muncul (program latihan baharu, alatan diubahsuai, rekacipta bekalan nutrisi baharu dan sebagainya). Modifikasi adalah proses adaptasi program latihan itu sendiri sebagai respon atau tindakbalas kepada kesan latuha  yang telah dilalui. Modifikasi boleh berlaku pada pelbagai peringkat, sekecil modifikasi harian hinggalah kepada modifikasi selepas beberapa kitaran latihan. Modifikasi yang biasa berlaku adalah manipulasi kembali pembolehubah latihan dan parameter latihan. 


Perlu diingat, proses suaian fizikal adalah pada akhirnya ingin menyesuaikan fizikal seseorang individu atau atlet untuk selari dengan keperluan sukan atau aktiviti fizikalnya. Proses yang dibentangkan di atas perlu berfokuskan pada matlamat akhirnya adalah peningkatan prestasi fizikal dan penurunan risiko kecederaan. Sebarang situasi di mana proses suaian fizikal mula kelihatan “taksub” ujian pemantauan atau lain-lain elemen secara berlebihan akan menyebabkan proses yang alpa akan matlamat sebenar suaian fizikal. 




----------------------------

Rujukan & Bibliografi

Fleck, S. J., & Kraemer, W. (2014). Designing resistance training programs, 4E. Human Kinetics.


Haff, G. G., & Triplett, N. T. (Eds.). (2015). Essentials of strength training and conditioning 4th edition. Human kinetics.


Turner, A., & Comfort, P. (2018). Advanced Strength and Conditioning. Routledge.


Zatsiorsky, V. M., Kraemer, W. J., & Fry, A. C. (2020). Science and practice of strength training. Human Kinetics.











bottom of page