top of page
Writer's picturesigconditioning0

PENGALAMAN MENGGUNAKAN JAM PINTAR PANTAU PRESTASI LARIAN

Sumber artikel: Norhafizah Hamzah. (2021, October). Pengalaman menggunakan jam pintar pantau prestasi larian. Celik Fizikal, Bil.1, pp. 16.



Gambar sekadar hiasan


Orang kata paling mudah untuk ketahui prestasi sesuatu gajet atau alatan adalah dengan bertanya terus kepada mereka yang pernah menggunakannya. Ramai yang bertanya berkenaan alatan apa yang saya gunakan untuk memantau prestasi larian saya? Jawapannya, buat masa ini saya menggunakan jam pintar yang antara fungsi utamanya adalah untuk mengukur kadar nadi dan kadar langkah larian saya. Oleh itu hari ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman menggunakan jam pintar ini.


Ada beberapa jenama yang pernah saya gunakan sebelum ini, namun ini adalah kegemaran terkini saya, iaitu Amazfit Bip S (saya tidak di bayar atau di taja jenama ini ya, harap maklum..hehe).


Jadi apa yang jam ini boleh lakukan untuk saya? Keseluruhannya terdapat fungsi untuk mengukur 17 jenis aktiviti semuanya. Namun yang kerap saya gunakan adalah fungsi umumnya bagi pengukuran kadar nadi, kadar langkah, jumlah kalori yang di bakar, fungsi GPS (pemetaan kedudukan kita), indikator aktiviti fisiologi, analisa kualiti tidur, dan analisa tekanan. Satu lagi fungsi yang semestinya paling kerap di gunakan adalah notifikasi panggilan telefon (ya, ianya boleh di sambungkan dengan fungsi telefon pintar kita).


Dari sudut kepuasan pemakaian, apa yang saya boleh katakan adalah saya rasa amat berpuas hati, mungkin sebab utamanya adalah harga yang mampu milik dengan fungsi-fungsi yang banyak. Saya tidak pasti harga jualannya sekarang, tapi harga saya beli dahulu adalah RM 249.00 pada tahun sekitar 2018/2019. Sangat berbaloi. Betullah orang kata, pakai benda dalam kemampuan, hati senang jiwa tenang (tapi ketenangan dan kesenangan itu mungkin tiada juga jika fungsinya tidak sehebat ini).

Apabila dibuat perbandingan dengan jenama lain (yang antaranya berharga lebih mahal daripada ini), Amazfit Bip S ini mempunyai jangka hayat bateri lebih lama (boleh mencecah hingga 14 hari). Dengan fungsinya yang pelbagai, ianya padat dengan data peribadi yang boleh dibuat rujukan untuk menilai tahap prestasi fizikal dan kesihatan tubuh keseluruhan. Dan paling penting, ianya juga tahan lasak (dengan anak kecil dan kesibukan kerja, sememangnya sukar jika alatan elektronik digital kita tidak lasak).


Sebagai seorang pendidik dalam bidang sains sukan, dan dengan saya sendiri dahulunya bekas atlet, satu lagi perkara paling penting bagi saya adalah ketepatan data yang di bekalkan. Pernah cuba bandingkan dengan data yang di hasilkan oleh aplikasi lain seperti Strava. Ada sedikit perbezaan dari segi jarak (km) contohnya yang direkodkan. Namun perbezaan ini bagi saya amat kecil dan tidak begitu signifikan kepada purata data keseluruhan di akhirnya. Mudah kata, boleh pakai. Boleh di terima.


Akhir kata, penggunaan teknologi seperti jam pintar atau aplikasi daripada telefon pintar kita untuk memantau prestasi aktiviti fizikal terutama larian mungkin kelihatan seperti lebih kepada “trend” berbanding keperluan. Namun jika di renungkan, mempunyai data seperti kadar nadi bagi setiap fasa aktiviti kita, memberikan kita ruang untuk mengelakkan risiko kecederaan atau terlebih latihan kepada tubuh. Pemantauan ke atas peningkatan atau penurunan prestasi juga menjadi lebih mudah, cotohnya kadar langkah kita bersama dengan jarak larian yang berjaya kita capai. Mempunyai data ringkas ini juga membolehkan kita mempunyai matlamat jelas bagi larian kita, dan memberi motivasi untuk konsisten dalam bersenam dan berlari. Itu pendapat peribadi saya. Semoga perkongsian ini bermanfaat hendaknya .



bottom of page