Ramai yang tertanya-tanya berapakah kadar nadi yang sesuai untuk pengurusan berat badan. Kadar nadi adalah salah satu kaedah pengukuran tahap kesukaran (intensiti) senaman atau latihan. Bagi rakan-rakan yang tidak berapa berminat dengan formula pengiraan kadar nadi, disini disertakan carta cadangan kadar nadi (peratus dan denyut seminit) bagi setiap matlamat latihan oleh Fox dan Haskell (1970). Ianya antara kaedah paling lama dan popular penggunaannya.
Sumber Grafik: https://en.wikipedia.org/wiki/Heart_rate
Untuk pengurusan berat badan seperti sasaran penurunan peratus lemak, jika dilihat pada carta berkenaan bagi mereka yang berusia lingkungan 30 tahun kadar nadi dicadangkan adalah sekitar 114 denyut seminit atau bersamaan dengan 60% daripada kadar nadi simpanan anda. Ini adalah anggaran dan cadangan, bukan pengiraan tepat, namun sesuai digunakan sebagai panduan. Bahkan, Dr. Fox sendiri sebenarnya ketawa dengan mengatakan formula beliau tersebut sebenarnya tidaklah direka untuk digunakan sebagai satu-satunya peraturan latihan seseorang. Maksudnya disini, ianya adalah sekadar panduan umum.
Namun apa yang pasti, kaedah ini mudah digunakan. Jika anda memiliki jam tangan elektronik jenama Polar, maka ketahuilah bahawa kaedah pengiraan sama oleh Fox dan Haskell ini digunakan didalam aplikasi pengiraan kadar nadi oleh jam tangan elektronik berkenaan.
Jika anda inginkan analisa kadar nadi yang paling tepat, dapatkanlah pemeriksaan Electrocardiography (ECG), kerana ianya adalah kaedah dan alatan paling tepat, dengan pemeriksaan sewaktu anda melakukan aktiviti fizikal (stress test) turut tersedia, bagi pemeriksaan kesihatan jantung anda di klinik-klinik dan makmal-makmal perubatan bertauliah.
Grafik: Salah satu lokasi kadar nadi yang boleh diambil dengan dua hujung jari anda (kaedah palpasi)
RUJUKAN:
Fox, S. M., & Haskell, W. L. (1970). The exercise stress test: needs for standardization. Cardiology: Current Topics and Progress, 149–154.