Banyak infografik memberi ringkasan dan dapatan penyelidikan-penyelidikan dalam bidang sains sukan dan sains senaman sekarang ini.
Ringkasan atau pun tidak, setiap penyelidikan ekperimental dilakukan dalam keadaan terkawal, biasanya dengan kumpulan kecil mewakili sebahagian kecil populasi tertentu.
Hasil kajian juga mungkin tidak sama sekiranya dilakukan dengan kelompok lain populasi atau dalam keadaan sedikit berbeza di mana-mana bahagian kaedah penyelidikan tersebut.
Penyelidik akan sentiasa cuba menjalankan sebanyak mungkin penyelidikan dalam bidang-bidang berkaitan, dengan hasil dapatan disebar kepada sesiapa yang berminat melalui penulisan laporan dalam bentuk jurnal penyelidikan.
Adalah menjadi tanggungjawab ahli akademik dan saintis untuk terus menghasilkan kajian bagi melengkapkan proses menyelidik dan mendapatkan jawapan bagi permasalahan-permasalahan dalam bidang.
Kombinasi dan gabungan semua hasil penyelidikan yang dilakukan akan dapat membantu satu kesimpulan yang konklusif dan lebih tepat di ambil ke atas mana-mana kondisi atau permasalahan.
Semakin banyak kajian, semakin banyak bukti untuk membantu pembuat keputusan.
Adalah menjadi tanggungjawab dan dalam bidang kuasa pengamal kecergasan / jurulatih / atlet / pentadbir untuk memilih dan menggunakan mana-mana hasil penyelidikan yang berkaitan (dan TIDAK memilih mana-mana yang tidak berkaitan atau timbangan kemudaratannya lebih tinggi daripada kebaikannya kepada situasi semasa pengamal).
Hasil penyelidikan yang dipaparkan dalam jurnal-jurnal penyelidikan BUKAN bermaksud pengamal industri WAJIB menggunakannya atau mengamalkannya.
Ianya adalah untuk KITA selaku PENGAMAL untuk menilai dan memilih mana yang berkenaan dan boleh digunakan oleh kita dalam amalan harian.
Bahkan kita perlu bersikap analitikal dan kritis. Lihat kelemahan dan kekurangan penyelidikan tersebut, yang semestinya mempengaruhi hasil penyelidikan berkenaan.
Bagi ahli akademik dan para penyelidik, maklumbalas daripada pengamal kepada hasil-hasil kajian mereka adalah amat penting, bagi memastikan kajian seterusnya dapat dijalankan dengan perubahan-perubahan penambahbaikan.
Tiada penyelidikan yang sempurna. Tiada penyelidikan yang akan berjaya merangkumkan segalanya dalam satu siri.
Penyelidikan adalah satu proses berterusan, sama seperti proses kehidupan harian.
Apa yang baik untuk hari ini tidak semestinya baik untuk esoknya. Begitu juga sebaliknya.
Infografik hasil penyelidikan hanyalah jendela kepada isi rumah yang lebih luas.
Jendela tidak mampu memberikan pandangan keseluruhan rumah. Masuk dan lihat isinya sekiranya apa yang terpapar di jendela menarik minat anda.
Jangan terima bulat-bulat.
top of page
bottom of page