Setiap hari kita akan mengeluarkan peluh dengan banyak terutamanya mereka yang bergiat cergas dengan aktiviti fizikal sama ada ketika melakukan kerja seharian atau sewaktu beriadah. Dengan Malaysia berada di iklim kpistiwa yang panas dan lembab sepanjang tahun kita terdedah dengan dehidrasi sekiranya tidak minum air dalam kuantiti yang cukup. Dehidrasi bermaksud kehilangan air dalam badan.
Tahukah anda, 75 peratus daripada tubuh badan kita adalah air manakala selebihnya 25 peratus lagi adalah bahan pepejal. Oleh itu, keperluan air amat penting kepada tubuh kita. Sekiranya anda mengalami sakit kepala dan pening berkemungkinan anda sedang mengalami kehilangan air tahap sederhana. Hidrasi juga dapat dilihat melalui warna air kencing anda, semakin pekat warna air kencing maka semakin tinggi tanda tubuh anda memerlukan air. Anda perlu meminum air secukupnya bagi mengatasi dehidrasi.
Dilampirkan di bawah contoh carta warna air kencing bagi memudahkan anda mengenalpasti tanda dan tahap dehidrasi anda. Carta warna TIDAK menggambarkan tahap kesihatan anda, ianya hanyalah indikator kurang atau cukup air dalam badan. Penggunaan carta warna air kencing telah disahkan oleh kajian-kajian saintifik sebagai sah dan boleh dipercayai sebagai penanda aras dehidrasi tubuh (1) (2) (3).
Tidak dapat tidak, air amat diperlukan untuk tubuh kita kerana ia mempunyai peranan penting membantu hampir kebanyakan anggota berfungsi dengan berkesan. Dengan gaya hidup masyarakat yang sentiasa menginginkan keadaan yang kondusif seperti berhawa dingin, banyak tenaga diperlukan untuk mengekalkan suhu badan bermakna semakin banyak cecair diperlukan. Hawa dingin juga menyebabkan persekitaran kering dan menyebabkan tubuh mengalami kehilangan air.
Antara kesan negatif kekurangan cecair dalam tubuh adalah buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik untuk menyingkirkan toksin kerana tidak memperolehi cecair yang mencukupi. Mereka yang kekurangan air dalam badan juga akan mudah mengalami sembelit, suhu tubuh lebih tinggi daripada sepatutnya (panas), dan tidak dapat berfikir dengan jelas. Oleh itu, jangan segan membawa botol air kemana-mana, dan sentiasa dapatkan nasihat daripada pakar nutrisi atau diet bertauliah (rujuk Nutrition Society Malaysia).
RUJUKAN: