Sumber artikel: Rozaireen Muszali (2021, October). Apa tips latih anak-anak baru memulakan aktiviti berlari (usia sekolah rendah)?. Celik Fizikal, Bil.1, pp. 8.
Pelajar/atlet sekolah rendah biasanya bermula pada usia 10 tahun (Darjah 4 atau Tahap 2).
Pemilihan biasanya diambil dari acara sukan sekolah (sukantara dan acara akhir). Peringkat ini pelajar/atlet biasanya hanya berlari tanpa menggunakan apa-apa teknik khusus untuk berlari.
Pelajar sekolah rendah bermula dari kosong (tiada apa-apa asas teknik). jurulatih perlu melihat dulu teknik semulajadi yang ada pada pelajar/atlet dan kemudian membimbing pelajar/atlet berkenaan berdasarkan tahap teras semulajadi mereka.
Untuk membentuk (mengajar) teknik baharu ke atas atlet, latih tubi sememangnya sangat diperlukan.
Latihan tubi teknik ini biasanya dilaksanakan secara berperingkat dan fasa seperti latihan hayunan tangan statik sambil duduk, dan diikuti dengan latihan dinamik sewaktu berlari serta lain-lain latihan asas kecergasan fizikal.
Setelah pelajar/atlet menguasai teknik larian, pelajar/atlet menjalani latihan individu sebelum diteruskan dengan latihan bersama atlet lain untuk menentukan kedudukan mereka berbanding pelajar/atlet lain (ranking).
Biasanya pelajar/atlet ini dibentuk sewaktu latihan pusat sebelum sesuatu kejohanan besar, namun tempoh masa latihan puat seperti ini amat singkat. Latihan berterusan bermula dari rumah.
Oleh itu, beri galakan dan bantuan kepada anak-anak anda untuk mula berlari secara konsisten setiap minggu. Mulakan dengan berjalan diikuti berlari-lari anak secara berselang seli, hingga mereka mampu berlari sepenuhnya untuk jarak dan masa tertentu.
Untuk permulaan, cukup dengan 10-15 minit tempoh masa aktiviti larian berkenaan.
Ayuh, mula berlari!