Pada umumnya usia 40-an adalah di kira usia pertengahan, melewati usia remaja-dewasa, dan menuju ke usia dewasa-tua. Ada yang merasakan usia 40-an masih muda, sementara ada yang merasakan usia 40-an sudahpun berusia tua.
Sebenarnya ini bergantung kepada fisiologi tubuh badan dan psikologi individu. Fizikal tubuh yang berfungsi dengan baik dan kesihatan mental yang cemerlang biasanya menyebabkan kita merasakan usia 40-an itu tiada apa-apa, masih muda, sihat dan gagah. Namun fizikal yang bermasalah dan jika ditambah pula dengan kesihatam mental yang terjejas disebabkan oleh pelbagai faktor, maka kebiasaanya usia 40-an itu akan di rasakan tua dan memenatkan.
Oleh itu, paling utama adalah mengekalkan keadaan kesihatan fizikal, emosi, rohani dan intelek, agar usia 40-an itu berada di tempat sepatutnya. Ini bagi yang masih ingat, sepatutnya sudah dipelajari sewaktu pembelajaran pendidikan jasmani di sekolah dahulu.
Matlamat senaman bagi yang berumur usia 40-an pada asasnya perlu berfokuskan kepada keselamatan, fungsi harian dan kemampanan.
Ini kerana selepas umur 40 tahun, beberapa perubahan boleh berlaku pada otot, sendi, ligamen dan tendon. Jisim otot akan merosot secara beransur-ansur (sarcopenia), biasanya sekitar 1% setahun selepas umur 40 tahun, yang membawa kepada penurunan kekuatan dan kuasa. Rawan yang melindungi sendi mungkin haus, menyebabkan kekakuan dan peningkatan risiko osteoarthritis. Mungkin terdapat penurunan dalam fleksibiliti dan julat pergerakan, menjadikan pergerakan terasa lebih mencabar. Ligamen pula mungkin kehilangan keanjalan dan kekuatan, meningkatkan risiko ketegangan dan kecederaan. Tendon boleh menjadi lebih kaku dan kurang berdaya tahan, membawa kepada kemungkinan lebih tinggi untuk tendinitis atau tendinopati. Seperti ligamen, penyembuhan tendon juga akan lebih perlahan jika terdapat sebarang kecederaan. Perubahan ini boleh membawa kepada risiko kecederaan yang lebih tinggi, penurunan prestasi fizikal dan peningkatan ketidakselesaan dalam bersenam dan kerja-kerja fizikal harian.
Berbalik kepada matlamat tadi, matlamat pertama adalah keselamatan. Senaman yang dipilih perlu berisiko rendah. Latihan intensiti tinggi contohnya untuk mereka yang semakin berusia seperti di usia 40-an, boleh meningkatkan risiko kecederaan, ketegangan sendi, dan tekanan kardiovaskular jika tidak dipantau dengan teliti dan disesuaikan dengan tahap kecergasan individu. Senaman dengan alatan seperti barbell dan dumbbell pula mempunyai risiko kecederaan akibat potensi ketidakseimbangan, kekuatan yang berkurangan dan kestabilan sendi yang berkurangan jika bentuk yang sesuai dan berat yang sesuai tidak diutamakan. Senaman dengan alatan bebanan luar terutama dengan bebanan berat adalah lebih elok di lakukan dengan pemantauan oleh jurulatih bertauliah. Jadi, secara mudahnya, di usia 40-an, perlu lebih cakna berkaitan keselamtan sewaktu bersenam. Bukan tidak perlu cakna bagi yang berusia lebih muda, cuma perlu lebih fokus keselamatan di usia penuaan ini.
Matlamat kedua yang boleh difokuskan adalah peningkatan atau pengekalan fungsi fizikal harian. Latihan fungsi yang mempunyai kombinasi daya tahan kardiovaskular dan kekuatan serta mobiliti otot mungkin boleh membantu pengekalan kemampuan fizikal harian. Contoh paling mudah seperti melakukan aktiviti berjalan kaki di taman yang diselang selikan dengan aktiviti push-up dan pull-up (sepenuhnya atau dengan modifikasi) untuk suatu tempoh masa tertentu (berterusan 15 minit contohnya). (Sila dapatkan program lebih tepat daripada jurulatih bertauliah anda)
Matlamat ketiga adalah kemampanan. Matlamat senaman yang mampan untuk individu berumur lebih 40 tahun bermaksud menetapkan sasaran kecergasan yang realistik, boleh dicapai dan boleh dikekalkan bagi menggalakkan kesihatan jangka panjang, konsistensi dan keseronokan, dan bukannya hasil jangka pendek, sekali gus meminimumkan risiko kecederaan dan keletihan jangka panjang (burn-out). Matlamat yang mampan juga selari dengan kedewasaan dan kematangan kehidupan yang di lalui, di mana kemungkinan tanggungjawab yang pelbagai dipikul, menyebabkan jadual harian yang lebih padat dan kadang kala sukar untuk dimasukkan elemen senaman dan latihan yang lengkap setiap hari dan waktu. Matlamat yang mampan juga mengurangkan tekanan emosi dan membantu pengurusan kehidupan yang lebih teratur dan tepat.
Akhir kata, 40-an masih muda sebenarnya, selagi mana kita kekal positif dan kekal bersenam!