top of page
Writer's pictureNur Ikhwan Mohamad

Apabila teknologi berlalu terlalu pantas, ilmu hanya pada permukaan.


Mengikuti satu sesi perkongsian ilmu minggu sebelumnya sebagai seorang peserta. Sesi tersebut memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran atas talian. Samada sepenuhnya atau gabungan bersemuka dan atas talian. Perkongsian ilmu yang amat baik daripada penceramah.

Cuma apa yang menarik perhatian apabila panduan yang diberikan berkaitan dengan pelbagai aplikasi atas talian yang boleh digunakan dalam proses berkaitan. Ianya mengingatkan kepada pengalaman yang dilalui diri sendiri. Inovasi rekacipta teknologi terutama aplikasi komputer (dan android kini) berlaku terlalu pantas sebenarnya.

Aplikasi yang dirasakan amat hebat dan berguna hari ini, akan hilang daya saingnya dalam masa yang singkat. Teringat juga kepada beberapa perisian khusus untuk analisa prestasi pergerakan manusia di makmal biomekanik. Pernah suatu ketika melihat pelajar bertungkus lumus cuba memastikan mereka menguasai sepenuhnya teknologi dan kemahiran berkaitan perisian dan alatan berkenaan. Namun kelemahan ketara beberapa pelajar terlibat adalah mereka gagal memahami bahawa teknologi tersebut hanyalah alatan bagi mencapai maksud dan tujuan bidang ilmu berkenaan.

Alatan akan berkembang, mungkin maju, namun mungkin menyusut dan pupus di akhirnya. Namun yang pasti, bidang ilmu berkenaan akan terus berkembang maju. Untuk selari dengan perkembangan bidang ilmu berkenaan, maka teknologi baru akan tercipta. Bagi mencapai tujuan akhir bidang ilmu tersebut. Fungsi telegram waktu mula dicipta, hinggalah kepada penciptaan telefon berkabel bertukar kepada mudah alih berinternet jalur lebar, semuanya hanyalah untuk satu tujuan, iaitu komunikasi.

Maka bagi analisa prestasi manusia tadi, teknologi kamera dan sebagainya pada akhirnya, adalah untuk analisa pergerakan manusia. Kuasailah bidang ilmu pergerakan manusia, dan kuasailah bidang ilmu dibelakang teknologi perisian dan analisa kamera tersebut. Kerana mampu menggunakan perisian dan kamera semata-mata pada akhirnya mungkin tiada gunanya.

Jangan hanya menjadi pengguna yang berjaya, namun jadilah inovator berilmu yang akan bertahan sepanjang zaman.

Gambar: Radio lama...pada satu masa, mungkin (diulangi...mungkin) mampu "ON" dan tukar bateri pun sudah dikira berilmu dan berteknologi.


bottom of page