Aktiviti kecergasan seperti berjalan adalah mudah dilaksanakan. Kebiasaannya selepas bermula dengan berjalan dan 'rucking'. akan ada yang akan bergerak ke arah lebih mencabar iaitu hiking di kawasan luar bandar yang lebih dekat dengan alam (hutan, gunung dan lain-lain).
Sepuluh keperluan asas yang biasanya dicadangkan kepada semua yang baru bermula dengan aktiviti hiking adalah:
Peta dan kompas. Membawa bersama telefon pintar dengan peta didalamnya sememangnya berguna, namun tiada yang boleh menggantikan peta dan kompas, apatah lagi sekiranya alatan elektronik rosak atau kehabisan bateri. Mulakan kemahiran dengan membiasakan diri menggunakan peta dan kompas sewaktu aktiviti berjalan harian atau setiap kali anda melakukan ‘hiking’, walaupun sedang mengikuti kumpulan atau hanya jangka masa pendek kurang 3 jam. Biasakan dengan mencari arah Utara dan ‘landmark’. Pastikan peta yang dibawa adalah peta lokasi berkenaan.
Perlindungan dari cahaya matahari. Bawa topi, lip balm dan krim menahan panas cahaya matahari. Gunakan jika perlu. Ada sesetengah lokasi hiking mendapat pancaran matahari terik, dan ada sesetengahnya teduh. Jika anda bercadang melakukan hiking di luar negara seperti New Zealand atau Australia, kelengkapan perlindungan matahari amat perlu. Malaysia mempunyai pancaran matahari terik dengan kelembapan tetapi biasanya dipayungi rimbunan pokok. Tetapi di sesetengah negara lain seperti New Zealand atau Australia, tahap kelembapan hampir tiada, dengan pancaran matahari terik dan udara kering serta sejuk walaupun di musim panas.
Pakaian insulasi haba. Di negara beriklim sejuk pakaian yang cukup untuk insulasi haba boleh menentukan kemampuan untuk bertahan sekiranya tersesat dan memerlukan anda bermalam. Perkara sama juga di Malaysia. Sejuk malam di kawasan luar dan tanah tinggi lokasi anda hiking boleh memudaratkan, terutama di waktu malam. Terdapat perbezaan fungsi pakaian luar seperti ‘fleece’, ‘windbraker’ dan jaket panas. Pilih mengikut keperluan dan suhu kawasan anda hiking. T-shirt lengan panjang juga lebih baik berbanding lengan pendek.
Pencahayaan. Hiking yang dijangka mengambil masa 4 jam ke atas sudah boleh dikira hiking sepanjang hari. Hiking berdurasi sejam atau du jam juga boleh berisiko menjadi aktiviti yang memerlukan bermalama atau tamat lewat selepas senja jika terjadi perkara luar jangka. Sesetengh kawasan di dalam hutan juga mendapat tembusan cahaya matahari yang kurang berbanding kawasan biasa di luar hutan kerana dilindungi oleh pokok=pokok tinggi yang tersusun rapat antara satu sama lain. Oleh itu, jangan anggap anda hiking di waktu siang hari bermaksud anda tidak memerlukan sebarang kelengkapan pencahayaan. Sentiasa bawa setidak-tidaknya satu lampu kepala dengan beberapa bateri simpanan.
Kelengkapan Bantu Mula (First-aid kit). Ini antara kelengkapan wajib yang selalu dilupakan ramai. Kelengkapan asas bantu mula boleh diperolehi di farmasi-farmasi dengan kos serendah RM20. Melecet atau tercalar sedikit terkena dahan pokok dan sebagainya mungkin kurang merbahaya disesetengah situasi, dan mungkin boleh menyebabkan kepada risiko kecemasan lebih tinggi di dalam situasi yang lain. Oleh itu, sentiasa bawa set bantu mula untuk diri anda.
Api. Bawa bersama kelengkapan yang boleh membantu anda menghidupkan api. Mungkin tiada cadangan bermalam dan berkhemah, tetapi untuk kecemasan, api adalah antara perkara wajib. Ianya membantu memanaskan badan, menghalau nyamuk dan binatang liar serta boleh digunakan untuk isyarat kecemasan selain untuk memasak air dan makanan. Mancis adalah pilihan biasa tetapi ianya boleh sahaja menjadi lembab. Alatan pemula api yang diperbuat daripada besi mungkin lebih berguna. Juga banyak pilihan lain kini bagi pemula api di pasaran, pilih yang bersesuaian.
Alat serba guna (Multi-tool). PIsau lipat ‘swiss-army’ adalah antara alatan yang popular. Mempunyai pelbagai fungsi dengan paling tidak akan memiliki pisau dan gunting. Bawa bersama pita pelekat dan pin sebagai barangan untuk pembaikan jika ada pakaian atau alatan dibawa mengalami kerosakan kecil.
Nutrisi. Bawa bekalan makanan. Setidak-tidaknya tin kecil sardin dengan sedikit biskut sebagai bekal walaupun hanya bagi jarak kurang 4 jam. Snek nutrisi sukan seperti “power bar” bersaiz kecil tetapi mempunyai cukup nutrisi penting sekiranya diperlukan nanti.
Hidrasi. Makanan adalah penting, namun air adalah lebih penting. Bawa air secukupnya. Hidrasi yang cukup memastikan anda cergas dan mampu memanjangkan hayat anda jika terkandas. Ada yang mengatakan air berat untuk dibawa banyak, namun kirakan ini dan bina kecergasan anda untuk mampu membawa bekalan air sendiri yang mencukupi.
Tempat perlindungan kecemasan. Selimut kecemasan adalah antara alatan perlindungan yang akan banyak membantu dalam banyak situasi. Ponco atau baju hujan nipis juga sepatutnya sentiasa tersedia didalam beg hiking anda. Satu lagi alatan biasa tetapi berguna adalah foam pad dengan panjang sebahagian tubuh cukup untuk sebagai lapik perlindungan antara anda dan permukaan tanah.
Kesemua sepuluh kelengkapan asas disenaraikan diatas boleh diperolehi dengan mudah. Dengan teknologi terkini, semua alatyan tersebut juga mula didatangkan dalam bentuk lebih mudah dibawa, bersaiz lebih kecil dan nipis sewaktu simpanan, dan tahan lasak. Pilih mengikut kesesuaian anda, tetapi pastikan anda ada semuanya. Dari segi ergonimik postur tubuh, pilih beg hiking yang baik untuk membawa semua kelengkapan berkenaan, kerana hiking adalah aktiviti fizikal. Dan aktiviti fizikal mempunyai kesan jangka pendek dan panjang kepada struktur fizikal dan postur anda terutama jika kerap kali dilakukan. Selamat memulakan aktiviti hiking.
RUJUKAN:
Eng, R. C., & Van Pelt, J. (Eds.). (2010). Mountaineering: The freedom of the hills. Mountaineers Books.